Assalamualaikum....
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk berqiamulail. Qiamulail, yakni menghidupkan malam dengan melakukan amal ibadah telah disebutkan di dalam surah Al-Muzammil ayat 1-4, Allah berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang yang berselimut, bangunlah solat Tahajud pada waktu malam, selain sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh daripada waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan 'tartil'."
Inilah antara amalan Nabi s.a.w junjungan kita untuk meraih keredhaan Allah dan untuk mendapatkan kekuatan rohani dan jasmani dalam memenuhi tingkat kesabaran Baginda s.a.w. demi menghadapi masalah umat dan musuh-musuh Islam. Malah terdapat banyak lagi keistimewaan-keistimewaan lain yang Allah janjikan kepada hamba-hambaNya yang sanggup bangun malam untuk melaksanakan ibadah.
Bangun daripada tidur yang enak pada waktu malam bukanlah satu perkara yang mudah. Adakalanya kita memang berniat untuk berqiamulail, tetapi sungguh berat untuk kita bangun, apatah lagi untuk melakukan solat 2 rakaat sekalipun. Mungkin dosa-dosa kita yang memberatkan kepada kita untuk bangun malam untuk menerima 'jemputan' Allah untuk menghadap-Nya di kala malam yang sunyi. Maka, amalkanlah istighfar, mudah-mudahan Allah mudahkan kita untuk bangun malam berqiamulail.
Ingatilah, ibadah yang dlakukan dengan niat ikhlas, tidak kira dalam setiap perbuatan apa pun; kerana Allah pasti akan mendapat taufik dan hidayah daripada Allah, dan pertolongan daripada Allah turun ke atas hamba-hambaNya mengikut tahap niat dan keikhlasan mereka dalam melakukan ibadah terutamanya bagi mereka yang ikhlas sanggup mengorbankan masa rehatnya di malam hari untuk sujud kepada Allah dan melakukan ibadah-ibadah lain...
Subhanallah....
Maka, melalui saat ini, marilah kita berniat bangun malam untuk melakukan ibadah sewaktu berqiamulail. Kerana, orang yang berhasrat mengerjakan qiamulail sebelum tidur diberikan ganjaran walaupun dia tertidur sampai ke pagi (tidak bangun berqiamulail).
Dalil, daripada laporan Saidatina Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang berniat mengerjakan solat pada waktu malam tetapi tertidur, PASTI Allah menetapkan baginya ganjaran solatnya. Sementara tidurnya itu adalah sedekah untuknya."
(Riwayat al-Nasa'i)
"Mudah-mudahan dipermudahkan"

No comments:
Post a Comment